09 February, 2025
Seremban: Matrix Concepts Holdings Berhad (Matrix Concepts) meraikan kanak-kanak istimewa sempena perayaan Tahun Baharu Cina sekali gus memupuk keterangkuman dan komuniti kesejahteraan dalam masyarakat, di sini.
Kanak-kanak yang diraikan daripada Beautiful Gate Foundation Seremban Centre, Persatuan Perkembangan Insan Istimewa Seremban (Komuniti Sentuhan) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Sri Sendayan.
Inisiatif itu dilakukan melalui Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dengan pelbagai aktiviti menarik seperti bengkel kaligrafi budaya lakukan sendiri (DIY) dan membuat perhiasan selain persembahan Tarian Seribu Tangan, aksi mengubah wajah dan persembahan akrobatik selain kanak-kanak juga diberikan angpau dan hadiah.
Ketua Pegawai Eksekutif Bersama, bahagian Pembangunan Hartanah Matrix Concepts, Tan Sze Chee berkata, pihaknya mahu menyebarkan semangat kebersamaan kepada semua pihak terutama kanak-kanak yang memerlukan selain turut mahu golongan itu merasai kegembiraan sambutan perayaan seperti kanak-kanak lain.
“Kami komited untuk terus menyokong dan meningkatkan semangat mereka, memastikan mereka tahu mereka juga dihargai dalam komuniti kami.
“Ini merangkumi intipati budaya dan nilai Matrix Concepts sebagai pembangun komuniti yang inklusif, di mana setiap orang mempunyai tempat dan diterima dengan baik dan sokongan,” katanya dalam kenyataan.
Perayaan itu juga menjadi permulaan kepada “Oriental Lunar Fiesta” yang berlangsung di d’Tempat Country Club, Bandar Sri Sendayan selama dua hari bermula semalam yang menampilkan pelbagai aktiviti dan persembahan menarik untuk pengunjung.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bersama, bahagian Pembangunan Hartanah, Matrix Concepts Chai Keng Wai berkata, pihaknya berbangga dapat memupuk semangat kemasyarakatan yang kuat dan meraikan kepelbagaian budaya.
“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada komitmen kami yang lebih luas terhadap keterangkuman dan tanggungjawab sosial, memastikan semua orang tanpa mengira kemampuan merasa dihargai.
“Melalui pembabitan bermakna seperti ini, kami berharap dapat mewujudkan impak positif dan berkekalan dalam komuniti,” katanya.
Dengan inisiatif seperti itu, Matrix Concepts terus mempertahankan dedikasinya kepada pembinaan komuniti dan impak sosial, sejajar dengan aspirasi Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) untuk mewujudkan masyarakat yang lebih inklusif dan harmoni.
Matrix Concepts juga menyumbangkan RM5,000 kepada tiga organisasi berkenaan.